Saturday, 27, July, 2024
Utama Negeri Sumbang keratan ayam beku bernilai lebih RM40,000 untuk ternakan ikan keli

Sumbang keratan ayam beku bernilai lebih RM40,000 untuk ternakan ikan keli

oleh Ammar Haziq

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah telah memberi sumbangan bekalan makanan haiwan bernilai lebih RM40,608.00 kepada pihak Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Kelantan dan Penjara Penor, Pahang di pintu Masuk Bukit Kayu Hitam, Jumaat lalu.

Menurut Pengarah Maqis Kedah, Tuan Hisham bin Abu Bakar, sejumlah 2,160 kilogram (kg) keratan ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM40,608 telah diserahkan kepada pihak Pusat Pemulihan Akhlak Machang dan Kelantan Penjara Penor, Pahang bertujuan untuk memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli dibawah program rehabilitasi agensi tersebut.

Untuk makluman, kesemua serahan ini adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang telah melalui proses undang-undang dan yang telah dilucuthakkan kerana tidak mematuhi aspek perundangan seperti mana yang tertakluk di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Maqis tidak akan berkompromi terhadap semua barang dagangan yang melibatkan isu biosekuriti terutamanya yang melibatkan aspek halal.

Dalam pada itu, pegawai Maqis di pintu masuk negara akan terus komited dan tegas dalam melakukan penguatkuasaan terhadap setiap pengimportan keluaran pertanian.

Sehubungan itu, Maqis akan turut memberi kerjasama dalam pelbagai aspek dan diharap usaha ini dapat membantu jabatan dan agensi yang memerlukan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com