Thursday, 3, April, 2025
Utama Nasional KKR disaran guna teknologi terkini, jimat kos dan masa

KKR disaran guna teknologi terkini, jimat kos dan masa

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan Kementerian Kerja Raya (KKR) mengadaptasi teknologi terkini yang lebih cekap dan menjimatkan kos dalam pelaksanaan projek infrastruktur negara.

Saranan ini bertujuan memastikan setiap projek dapat disiapkan dengan lebih pantas dan berkualiti demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, penggunaan teknologi moden bukan sahaja membantu mengurangkan kos, tetapi juga memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih mampan dan efisien.

“KKR perlu merancang kaedah dan proses baharu dengan melaksanakan idea, strategi, perubahan serta reformasi yang pantas. Ini penting agar ia selari dengan perkembangan teknologi dan pembangunan negara, terutama dengan sumber yang terhad,” katanya dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKR yang berlangsung di Kompleks Kerja Raya, di sini.

Mesyuarat itu diadakan bersempena Program Ihya Ramadan bagi membincangkan perkembangan semasa kementerian serta mengenal pasti cabaran yang dihadapi.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa KKR memainkan peranan kritikal sebagai pelaksana utama projek pembangunan negara.

Kementerian itu bertanggungjawab terhadap projek berskala besar dan sederhana di bawah Rancangan Malaysia, selain projek kecil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di peringkat negeri dan daerah.

Menurut beliau, infrastruktur yang berkualiti bukan sekadar memenuhi keperluan asas rakyat, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Oleh itu, KKR perlu memastikan setiap projek dibangunkan dengan menggunakan teknologi yang mampu meningkatkan kecekapan serta mengurangkan pembaziran sumber.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com