SUNGAI PETANI: Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah membuktikan keprihatinan kerajaan Perpaduan dalam membantu rakyat.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Muhammed Taufiq Johari berkata bantuan itu sekali gus membantu meringankan beban penjawat awam sempena Aidilfitri tidak lama lagi.
“Kita dapat lihat insentif yang diberikan kerajaan dalam meringankan beban kakitangan awam.
” Di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kita dapat lihat ekonomi dan pelaburan masuk juga semakin baik, semua itu akan dikembalikan semula rakyat, itu yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan walkabout dan edaran bubur lambuk di Bazar Ramadan Taman Ria di sini, petang semalam.
Semalam media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan
Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah yang akan dibayar minggu depan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga bersetuju membayar BKK Aidilfitri sebanyak RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.