Wednesday, 2, April, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Sistem MAHB digodam, Kerajaan tolak tuntutan penggodam AS$10 Juta

Sistem MAHB digodam, Kerajaan tolak tuntutan penggodam AS$10 Juta

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR– Sistem Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengalami serangan siber serius baru-baru ini, dengan penggodam menuntut tebusan sebanyak AS$10 juta.

Namun, kerajaan mengambil pendirian tegas dengan menolak permintaan tersebut bagi memastikan Malaysia tidak tunduk kepada ugutan siber.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan insiden itu ketika berucap dalam majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) pada Selasa.

“Apabila dimaklumkan, saya tidak tunggu lima saat, saya terus jawab ‘tidak’ kepada tuntutan penjenayah tersebut,” tegasnya.

Kejadian ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan digital negara, terutama dalam sektor infrastruktur kritikal seperti lapangan terbang.

Kerajaan sedang berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan untuk mencari penyelesaian dan memperkukuhkan sistem keselamatan siber.

Menurut Anwar, keputusan untuk tidak tunduk kepada penggodam bukan tanpa risiko, namun ia perlu bagi memastikan Malaysia tidak menjadi sasaran mudah bagi jenayah siber.

“Malaysia tidak akan selamat jika pemimpin dan sistemnya membiarkan negara tunduk kepada ultimatum penjenayah, sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.

Serangan ini mencerminkan kepentingan meningkatkan keselamatan siber, bukan sahaja dalam sektor kerajaan tetapi juga dalam sektor swasta seperti perbankan.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com