Monday, 31, March, 2025
Utama Nasional Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di lapan negeri

Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di lapan negeri

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Majlis Sambutan Aidilfitri Madani anjuran kerajaan akan diadakan di lapan negeri bermula di Melaka pada 5 April depan.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata negeri Melaka dipilih
sebagai lokasi majlis peringkat kebangsaan dengan anjuran kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai tuan rumah.

Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkunjung ke lapan negeri terbabit bagi meneruskan tradisi berkenaan.

“Untuk tahun ini, Perdana Menteri akan berkunjung ke lapan negeri bermula dengan Melaka yang juga diangkat sebagai penganjuran Peringkat Kebangsaan pada 5 April (Sabtu); Selangor pada 6 April (Ahad); dan Pahang pada 11 April (Jumaat).

“Selain itu, Kelantan dan Pulau Pinang pada 12 April (Sabtu); Sarawak pada 19 April (Sabtu); Perak pada 25 April (Jumaat); dan Perlis pada 27 April (Ahad),” katanya dalam sesi taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Beliau berkata perincian lanjut berkaitan lokasi akan dimaklumkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri, selaku sekretariat induk Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025.

Justeru, Perdana Menteri menjemput semua rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya untuk bersama-sama hadir pada sambutan Aidilfitri Madani 2025.

Selain itu, Tunku Nashrul menambah, ia juga adalah wadah penting untuk semua pihak meredakan suhu ketegangan antara kaum dan agama, dan menghormati serta meraikan perbezaan menerusi interaksi antara rakyat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com