Sunday, 12, May, 2024
Utama Nasional DBKL perlu warta segera penambahbaikan Draf PSKL 2040 – PM

DBKL perlu warta segera penambahbaikan Draf PSKL 2040 – PM

oleh admin

KUALA LUMPUR:Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu melaksanakan segera penambahbaikan Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL 2040) dan diwartakan sebelum penghujung tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan amat komited bagi memastikan penyediaan PSKL 2040 adalah komprehensif dan bersifat inklusif untuk rakyat selaras dengan visi Kuala Lumpur bandar untuk Semua.

Beliau berkata DBKL perlu memberi tumpuan mengekalkan kawasan rizab hutan dan kawasan lapang bagi memastikan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya hijau, sihat dan rancak tercapai.

Selain itu, Perdana Menteri berkata beliau bersetuju supaya perumahan mampu milik diperluaskan bagi menampung permintaan terhadap jenis perumahan tersebut oleh warga kota Kuala Lumpur.

“Cadangan ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan perumahan mampumilik melalui konsep Kejiranan Madani di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kerajaan amat komited bagi memastikan penyediaan PSKL 2040 ini adalah komprehensif dan bersifat inklusif untuk rakyat selaras dengan visi Kuala Lumpur, Bandar Untuk Semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata berdasarkan perlanjutan sesi libat urus yang diadakan bermula 18 hingga 26 Mei lepas, DBKL menerima sebanyak 639 pandangan daripada 425 peserta yang hadir dalam sesi libat urus tersebut.

PSKL 2040 merupakan antara komponen utama Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 yang mengandungi visi, matlamat, hala tuju strategi dan tindakan untuk memandu Kuala Lumpur bagi 20 tahun akan datang.

Antara kandungan draf PSKL 2040 adalah mengintegrasikan penggunaan tanah dengan perancangan infrastruktur, pengangkutan, penyediaan perumahan mampu milik, pekerjaan, kemudahan awam serta peningkatan kualiti alam sekitar dan ruang awam.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com