Tuesday, 1, April, 2025
Utama Negeri Di mana Mohamad Fayyad?

Di mana Mohamad Fayyad?

oleh Ammar Haziq

BALING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang menghidap autisme dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kuarters JPS Kampung Landak Paya, Kupang, pada Jumaat.

Kehilangan kanak-kanak itu, Mohamad Fayyad Affan Mohd Fakhri, disedari keluarganya kira-kira jam 12.50 tengah hari sebelum laporan polis dibuat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada jam 2.36 petang.

Sejurus selepas itu, pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi pencarian.

Operasi pencarian melibatkan 52 orang dari pelbagai agensi termasuk bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan bomba sukarela, dan penduduk kampung.

Kawasan pencarian merangkumi radius sejauh satu kilometer dari lokasi kehilangan, yang dibahagikan kepada empat sektor.

“Berdasarkan maklumat, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak tersebut berjalan keluar dari kawasan rumahnya dan menghala ke arah jalan kampung.

“Pasukan kami telah dikerah untuk menjalankan pencarian dengan sehabis baik,” ujar Zulkhairi.

Operasi ini dipimpin oleh Penguasa Bomba, Mohamad Sofi Abdul Wahab, yang mengetuai usaha pencarian bersama pelbagai pihak.

Penduduk kampung turut memainkan peranan penting dengan menyertai pencarian sebagai bentuk solidariti terhadap keluarga mangsa.

“Penglibatan pelbagai pihak memperlihatkan semangat kerjasama yang tinggi dalam memastikan mangsa dapat ditemui dengan selamat,” tambah Zulkhairi.

Setakat ini, operasi pencarian masih diteruskan dengan harapan kanak-kanak tersebut dapat ditemui dengan selamat.

Pihak berkuasa juga menyeru orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat mengenai keberadaan Mohamad Fayyad agar segera menghubungi polis atau pasukan penyelamat terdekat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com