Monday, 7, April, 2025
Utama Negeri Setia jaga isteri koma hampir tiga tahun lepas lahir anak  

Setia jaga isteri koma hampir tiga tahun lepas lahir anak  

oleh Ammar Haziq

SIK – Pengorbanan seorang suami tiada batasannya.

Itu yang dibuktikan oleh Muhammad Shazuan Md Saad , 39, yang setia menjaga isterinya, Nurul Azhani Abu Hassan @ Hussain , 38, yang masih berada dalam keadaan koma sejak melahirkan anak bongsu pada 6 Julai 2022 .  

Walaupun keadaan isteri semakin merosot, Muhammad Shazuan tetap menggalas tanggungjawab penuh sebagai penjaga , tanpa lelah, menyedut kahak setiap tiga minit bagi memastikan isteri berada dalam keadaan selesa.  

“Kebelakangan ini keadaan isteri saya makin teruk. Kadang-kadang saya langsung tidak tidur malam kerana terpaksa menyedut kahaknya secara berterusan. Jika saya biarkan, dia tidak boleh bernafas,” luahnya dengan nada sebak.  

Muhammad Shazuan, yang juga siak masjid di Kampung Teloi Tua, berkata keluarganya menerima bantuan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM300 daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) , selain elaun tok siak.  

Namun, beban kewangan tetap tinggi dengan kos rawatan dan perjalanan ambulans ke hospital yang mencecah RM250 ke Hospital Sik dan RM500 ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani .  

“Saya perlukan sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan untuk isteri dan anak-anak, tetapi saya tak dapat mencari kerja lain kerana perlu menjaganya sepenuh masa,” katanya.  

Keperluan susu khas turut membebankan, dengan isterinya memerlukan 30 tin sebulan berharga RM50 setiap satu . PERKESO menyumbangkan 16 tin , tetapi bakinya perlu dibeli sendiri.  

Muhammad Shazuan bersyukur kerana masih mendapat sokongan daripada ahli keluarga, jiran, dan rakan-rakan yang prihatin terhadap situasinya.  

“Salah seorang rakan membantu membeli pakaian raya untuk anak-anak saya. Walaupun raya kami sederhana, saya bersyukur masih ada orang yang sudi membantu,” katanya.  

Adiknya juga banyak membantu dengan menjaga anak bongsunya, memberi sedikit kelegaan dalam menguruskan keadaan isterinya.  

Dengan keadaan yang semakin mencabar, Muhammad Shazuan berharap agar lebih ramai pihak sudi membantu keluarganya meringankan beban kewangan mereka.  

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi beliau di 019-3523308 atau menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam 02132020043215 .  

“Kami hanya mampu berusaha dan berdoa agar ada keajaiban buat isteri saya. Apa yang berlaku ini adalah ujian buat kami sekeluarga,” katanya mengakhiri bicara.  

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com