Monday, 14, April, 2025
Utama Nasional Tahniah Malaysia, hubungan antara kaum baik,hormat-menghormati – PM

Tahniah Malaysia, hubungan antara kaum baik,hormat-menghormati – PM

oleh Ammar Haziq

BUTTERWORTH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuji keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia yang disifatkan sebagai baik dan saling menghormati.

Berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, beliau berkata acara itu membuktikan rakyat Malaysia mampu duduk semeja meraikan perayaan dalam suasana aman dan harmoni tanpa mengira bangsa serta agama.

“Dalam semua majlis ini, sambutan rakyat baik orang Islam bersama dengan orang Cina, orang India, orang Asli turut merayakan dalam keadaan yang sangat aman, dengan penuh rasa kasih sayang dan hormat-menghormati.

“Tahniah rakyat Malaysia semua. Ini membuktikan bahawa di peringkat rakyat, keadaan itu baik, hubungan kaum baik,” katanya.

Anwar turut menyebut Pulau Pinang sebagai contoh negeri yang dihuni pelbagai kaum tetapi hidup dalam suasana harmoni.

Beliau berkata, pengalaman dibesarkan di kawasan pelbagai kaum seperti Bukit Mertajam mengukuhkan keyakinannya bahawa rakyat Malaysia mampu mengekalkan perpaduan tanpa ketegangan.

Namun, Perdana Menteri mengingatkan bahawa masalah hubungan kaum hanya tercetus apabila terdapat segelintir tokoh politik yang cuba mencetuskan ketegangan melalui hasutan .

Beliau menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan usaha yang bertujuan menimbulkan kebencian kaum, sebaliknya terus bersatu padu demi pembangunan negara.

Majlis yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung itu turut diserikan dengan kehadiran pemimpin utama seperti:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek,
Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan barisan kepimpinan negeri Pulau Pinang.

Majlis ini menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia yang terus mengukuhkan hubungan antara kaum dalam suasana penuh kasih sayang dan hormat-menghormati.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com