PUTRAJAYA:Negara perlu berada dalam keadaan stabil dan mempunyai kekuatan dalaman sekiranya mahu memainkan peranan di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk dalam kerangka kerjasama ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat murni untuk membantu negara-negara lain seperti Myanmar atau Gaza, tidak akan dapat direalisasikan sekiranya Malaysia sendiri gagal mengurus negara secara telus dan berkesan.
“Kalau negara kita tidak stabil, tidak diurus dengan baik, fokus hanya kepada kekayaan peribadi dan keluarga, maka sebarang hasrat murni untuk membantu negara seperti Myanmar atau Gaza tidak akan bermakna,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.
Selain itu, Anwar turut menyeru kepada amalan tadbir urus yang baik serta pengurusan ekonomi yang berkesan sebagai asas bagi memperkukuh peranan Malaysia dalam ASEAN.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada warga MOF atas kejayaan menganjurkan Sidang Menteri-Menteri Kewangan ASEAN minggu lepas yang berlangsung dengan lancar dan berkualiti tinggi.
Beliau berkata mutu perbincangan serta fokus kepada isu-isu besar menjadikan kejayaan penganjuran Sidang Menteri-Menteri Kewangan ASEAN itu sebagai satu pencapaian membanggakan buat Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Kepada Menteri (Kewangan) II Datuk Seri Amir Hamzah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican serta timbalan-timbalan dan semua pihak terlibat, tahniah saya ucapkan,” katanya.
Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 yang berakhir baru-baru ini berjaya mengukuhkan integrasi dan kerjasama kewangan di rantau ini.
AFMGM dan mesyuarat berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 7 hingga 10 April lepas dengan kehadiran kira-kira 300 delegasi, terdiri daripada menteri kewangan ASEAN, gabenor bank pusat, pegawai daripada institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta.