Saturday, 4, May, 2024
Utama Ekonomi Kestabilan politik mampu perkasa semula ekonomi negara

Kestabilan politik mampu perkasa semula ekonomi negara

oleh admin

KUCHING – Kerajaan Persekutuan hanya boleh fokus kepada pembangunan dan mengangkat semula ekonomi Malaysia ke tahap hebat dengan kestabilan politik.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini perlu bersatu padu bagi mencapai matlamat itu.

Beliau berkata, ketika ini kestabilan politik semakin menampakkan pemulihan positif dan usaha berterusan perlu dipupuk bagi memastikan ia dicapai sepenuhnya.

“Dengan semangat perpaduan yang semakin baik sekarang, dengan politik yang semakin stabil walaupun tidak semua (parti politik) yang mahu bersama (Kerajaan Perpaduan), majoriti besar mahu bersama kita.

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah menentukan supaya kerajaan ini dapat memastikan seluruh kekuatan untuk membela nasib rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia yang dihadiri tetamu utama, Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar dan isteri, Puan Sri Fatimah Mohd Iskandar di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Turut memeriahkan sambutan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selain semua menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak.

Anwar berkata, Malaysia pernah mencapai ekonomi yang hebat, namun keadaan kini sudah berubah susulan ketidakstabilan politik.

“Ekonomi kita sudah merudum jatuh dan kita perlu mengangkatnya semula dengan memastikan kestabilan dan mengukuhkan perpaduan,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi, Sarawak berpotensi untuk menjadi penyumbang.

“Hari ini Sarawak berpotensi menjadi tapak pembangunan pembangunan industri hijau dan hidrogen sehingga meletakkan industri hiliran berdasarkan tenaga diperbaharui, teknologi hijau dan kenderaan elektrik paling hebat di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Berikutan kemampuan Sarawak muncul wilayah paling depan di dalam teknologi baharu itu di Malaysia, Anwar berkata, beliau meminta Abang Johari memberi ‘kuliah’ kepada jemaah menteri Persekutuan sebelum mereka mengadakan mesyuarat Kabinet di Kuching, hari ini.

“Kalau dahulu, kita (Menteri Persekutuan) datang memberi kuliah kepada pemimpin Sarawak, namun hari ini saya meminta Abang Johari memberi pandangan dan kuliah kepada Menteri Persekutuan.

“Ini kerana Sarawak kini berada di depan dalam beberapa bidang dan aspek terutama dalam soal industri hiliran berdasarkan kekuatan tenaga diperbaharui dan teknologi serta beberapa bidang baharu yang diterokai dengan jayanya berdasarkan pelaksanaan di Sarawak,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com