Wednesday, 16, April, 2025
Utama Negeri PeSAWAH mohon turunkan harga benih padi selaras harga semasa padi

PeSAWAH mohon turunkan harga benih padi selaras harga semasa padi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR : Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa Ketua Pengarah, Bahagian Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan agar segera menurunkan harga benih padi bagi Musim 1 2025 selaras harga padi semasa yang kini RM1,500 pertan.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, berkata, harga kawalan benih padi sebanyak RM58 di pintu kilang yang ditetapkan pada Mac 2024 berdasarkan harga padi RM1,800 ketika itu kini dilihat tidak lagi relevan.

Menurutnya, dengan harga semasa padi yang menurun, mereka berpendapat harga benih padi wajar diselaraskan bagi mengurangkan beban pesawah.

“Penurunan harga ini penting bagi memastikan kebajikan pesawah terus terjaga, terutamanya dalam menghadapi tekanan ekonomi yang semakin meningkat.

“Pesawah kini berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk kenaikan kos sara hidup dan penghapusan subsidi diesel.

“Jika harga benih tidak diturunkan, mereka akan terus terbeban dengan kos operasi yang tinggi. Ini adalah tuntutan yang munasabah dan mendesak,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Belat, di sini pada Ahad.

Abdul Rashid mendedahkan bahawa pesawah yang menggunakan kaedah tabur terus memerlukan sekitar 10 beg benih padi bagi setiap hektar tanah, yang bermakna kos boleh mencecah sehingga RM600 perhektar jika harga benih kekal pada RM58 atau lebih tinggi di pasaran.

Ulasnya lagi, kos tambahan seperti logistik dan pengedaran menyebabkan harga benih padi yang sampai ke tangan pesawah seringkali lebih tinggi daripada harga kawalan sehingga mencecah sehingga RM70 satu beg benih padi.

“Kami rasakan harga semasa tidak lagi munasabah dan perlu disemak semula. Kerajaan juga perlu memastikan pihak-pihak tertentu tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya,” tambahnya.

Abdul Rashid menekankan bahawa pesawah adalah tulang belakang pengeluaran makanan negara dan sokongan melalui penurunan harga benih padi penting untuk memastikan kelangsungan sektor pertanian.

Mereka turut mengingatkan bahawa kestabilan harga ini adalah penting bagi menyokong usaha pesawah untuk terus menghasilkan padi, lebih-lebih lagi ketika musim penanaman di Kedah terutamanya di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dijadualkan bermula 16 April , manakala kawasan lain seperti Kerian, Perak akan bermula pada Mei.

Menurutnya, perkara ini telah dimaklumkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Februari lalu dan berharap satu tindakan konkrit bakal diambil oleh kerajaan.

“Kami berharap agar kerajaan dapat mengambil tindakan segera kerana pesawah kini terpaksa menanggung beban kos yang tinggi. Harga benih perlu diselaraskan dengan harga semasa padi bagi memastikan mereka mampu terus bertahan,” katanya lagi.

Sementara itu seorang pesawah, Shukri Baharom, 63, berkata, golongan tersebut berharap penurunan harga benih padi perlu disegerakan bagi mengurangkan impak semasa yang ditanggung pesawah.

Jelasnya, harga benih padi ini meningkat sejak Mac 2024 berpandu harga padi pada masa itu iaitu RM1,800 bagi satu tan.

“Jadi bila kerajaan dah umum harga lantai sebanyak RM1,500, sepatutnya benih padi pun turun samalah mengikut harga padi kita sekarang, kami harap kerajaan mempertimbangkan perkara ini secepat mungkin,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com