Thursday, 12, December, 2024
Utama Negeri Bayi perempuan ditemukan menangis tepi sawah

Bayi perempuan ditemukan menangis tepi sawah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Seorang bayi perempuan  dipercayai baru dilahirkan ditemukan ditinggalkan di atas jalan berdekatan kawasan pembinaan jambatan berhampiran sawah padi di Kampung Kubang Pangas, di sini pada Rabu.

Seorang penduduk, Mat Zuki Deris, 59, berkata dia menemui bayi itu  semasa melalui jalan menghala ke kawasan pembinaan tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi.

Menurutnya, dia yang baru menghantara isterinya ke tempat kerja tergerak hati untuk menggunakan laluan lain menghala ke kawasan tapak pembinaan jambatan.

“Sebaik melalui kawasan itu, saya terkejut apabila ternampak bayi ditinggalkan di atas jalan dengan hanya berlapikkan kain pelekat dan kain batik dalam keadaan menangis,” katanya.

Jelas Mat Zuki, dia kemudian menepuk-nepuk badan bayi itu sebelum memaklumkan tentang penemuan tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk lain.

“Bayi itu lengkap berpakaian dengan sarung tangan dan turut diselimutkan dengan kain lampin yang mempunyai kesan seperti darah kering. Penduduk yang datang terus membawanya ke surau terletak kira-kira 300 meter dan memberikannya susu.

“Alhamdulillah, saya nampak bayi comel itu dalam keadaan baik. Dia kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” ujarnya.

Menurutnya, individu yang membuang bayi di situ sangat tidak berperikemanusiaan kerana lokasi tersebut sunyi dan terdedah kepada haiwan berbisa seperti ular.

“Kawasan itu dekat dengan sawah, banyak biawak dan ada juga anjing liar. Nasib baik saya tergerak hati nak menggunakan laluan itu, jika tidak, saya tidak tahu apa nasib bayi itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan penemuan bayi itu dan siasatan masih dijalankan. 

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com