PUTRAJAYA: Malaysia bersedia bekerjasama dengan Jepun dalam mempersiapkan strategi terbaik berkaitan isu tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) serta kesannya terhadap ekonomi global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu menjadi antara isu penting perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari Jepun pada semalam.
Dalam perbincangan telefon dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, sejurus selepas Istiadat Sambutan Negara, Anwar menegaskan bahawa Malaysia bersama pemimpin ASEAN lain telah mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dan menyatakan kesepakatan untuk meneruskan rundingan bersama AS.
“Malaysia turut menghargai minat dan hasrat Jepun untuk bersama-sama membangunkan rangkaian ASEAN Power Grid yang bakal memberi manfaat besar kepada kestabilan dan masa depan tenaga serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, perbincangan turut menjurus kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam sektor tenaga baharu seperti hidrogen, yang melibatkan Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada Ishiba atas kehilangan nyawa rakyat negara itu dalam tragedi gempa bumi yang melanda Myanmar baru-baru ini.
“Malaysia juga menghargai usaha Jepun yang tampil menyalurkan sumbangan dalam membantu proses pemulihan dan pembangunan semula di negara terjejas.
“Hubungan Malaysia-Jepun akan terus diperkukuh berasaskan rasa saling hormat, kepercayaan serta komitmen jangka panjang dalam pelbagai bidang strategik,” ujarnya lagi.