Monday, 21, April, 2025
Utama Negeri Pelajar UUM maut dilanggar bas di dalam kampus

Pelajar UUM maut dilanggar bas di dalam kampus

oleh Ammar Haziq

KUBANG PASU – Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) maut dalam kejadian tragis selepas dilanggar sebuah bas, pagi Sabtu, di hadapan perhentian bas Jalan Persiaran Perdana, UUM.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata mangsa, Manarina Hasya Muhamad Karim, berusia 22 tahun, disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Beliau berkata, insiden berlaku sekitar jam 8.45 pagi, membabitkan dua buah bas milik syarikat yang sama.

“Siasatan awal mendapati bas pertama sedang berhenti di perhentian untuk mengambil penumpang sebelum dilanggar dari belakang oleh bas kedua.

“Impak pelanggaran menyebabkan bas hadapan menggelongsor ke depan, melanggar besi penghadang jalan dan menghimpit mangsa yang sedang menunggu untuk menaiki bas,” katanya.

Mangsa, yang berasal dari Johor, mengalami kecederaan serius sebelum dikejarkan ke hospital, namun gagal diselamatkan beberapa jam kemudian.

Mohd Radzi turut memaklumkan bahawa kedua-dua pemandu bas, masing-masing berusia 32 dan 37 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Beliau menyeru saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) sedang menunggu laporan lengkap berhubung kejadian tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed , berkata pihak universiti telah mengarahkan Jabatan Keselamatan UUM untuk bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan.

“Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh, dan UUM akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan penuh yang diterima,” katanya.

Insiden ini menimbulkan persoalan tentang langkah-langkah keselamatan yang sedia ada dalam perkhidmatan pengangkutan di kampus. Dengan kejadian tragis ini, aspek pengurusan dan pengendalian bas kitaran kampus perlu diberi perhatian bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com