Wednesday, 17, April, 2024
Utama Negeri Lebih 17,000 pelajar UUM dapat penginapan

Lebih 17,000 pelajar UUM dapat penginapan

oleh Ammar Haziq
Universiti Utara Malaysia

SINTOK, 17 OKTOBER – Isu tempat tinggal pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) membabitkan lebih 17,000 orang pelajar di Inapan Siswa (INASIS) telah selesai iaitu sebelum kuliah bermula pada minggu ini.

Urusan penginapan pelajar lama iaitu Semester Kedua dan berikutnya dibuat sebaik sahaja pendaftaran dan penempatan pelajar baharu Semester Pertama Sesi 2022/2023 berjumlah 4,106 orang selesai mendaftar masuk di Inapan Siswa (INASIS) yang ditetapkan pada 11 Oktober lalu.

UUM dalam satu kenyataan berkata, dengan memberi penempatan kepada kesemua pelajar termasuk pelajar yang kini berada di Semester Kelapan dan berikutnya, atau dengan kata lain lebih dari empat tahun dari tempoh biasa pengajian, jelas menunjukkan universiti itu amat prihatin dan cakna dengan kebajikan dan keselamatan pelajar universiti ini.

“Untuk rekod, UUM mempunyai 15 kolej kediaman yang dikenali sebagai INASIS selain turut menyediakan kemudahan penginapan tambahan di kawasan Perumahan Sisiran Naib Canselor UUM, Perumahan Sisiran Sintok UUM, Perumahan Taman Universiti UUM dan rumah-rumah universiti yang ada di dalam kampus UUM kepada pelajar.

“UUM juga telah menyediakan penempatan kepada 500 pelajar rayuan yang akan mula mendaftar pada 1 November 2022,” katanya.

Tambah kenyataan itu, secara keseluruhannya, kesemua pelajar yang memohon penginapan iaitu seramai 17,708 orang telah memperoleh tempat penginapan di UUM dan pengurusan universiti sentiasa memastikan keperluan pelajar dapat dipenuhi dan mereka dapat belajar dalam suasana yang kondusif.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com