PUTRAJAYA: Sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mei ini bagi membincangkan isu tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.
“Ada. Iya, 5 Mei,” katanya ringkas.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Terdahulu, akhbar Sin Chew Daily melaporkan Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan pemberitahuan mengenai sidang khas itu, namun beberapa Ahli Parlimen memaklumkan mereka masih belum menerima surat rasmi berkaitan.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadualkan berlepas ke Washington, Khamis ini, bagi mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan AS (USTR), Jamieson serta beberapa pegawai kerajaan Amerika lain.
Pertemuan itu dijangka memfokuskan perbincangan mengenai cadangan tarif berkenaan.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balas sebanyak 24 peratus terhadap Malaysia dan beberapa negara dagangan lain, mengikut kadar masing-masing.
Namun, pelaksanaan tarif itu ditangguhkan selama 90 hari untuk lebih 75 negara, kecuali China, atas faktor rundingan diplomatik dan semangat muhibah.