Friday, 9, May, 2025
Utama Nasional Jangan terpengaruh celoteh negatif, fokus masa depan negara – PM

Jangan terpengaruh celoteh negatif, fokus masa depan negara – PM

oleh Ammar Haziq

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan retorik dan celoteh berbaur negatif yang dimainkan pihak tertentu, termasuk dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Sebaliknya beliau mahu rakyat menumpukan perhatian terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan masa depan.

Katanya, tumpuan rakyat seharusnya terarah kepada kemajuan negara, terutamanya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) serta latihan anak muda dalam kejuruteraan dan pelbagai industri strategik.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar kita tidak cuai, tidak memandang ringan dan tidak mudah tergugat dengan celoteh-celoteh seperti yang berlaku di Ayer Kuning.

“Kita kini bercakap mengenai era digital, AI, ancaman tarif, serta latihan generasi muda dalam bidang kejuruteraan dan pembangunan bakat baharu. Namun, apa yang diperbesarkan adalah isu Kristian, Cina, DAP.

“Saya tidak kata isu itu tidak boleh dibincang, tetapi lihatlah juga kepada masa depan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini malam tadi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; serta Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau kekal optimis untuk terus membawa masuk pelaburan asing ke dalam negara, sekali gus mengangkat martabat Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau yakin, dengan kestabilan politik, dasar ekonomi yang jelas, serta kecekapan pelaksanaan jentera pentadbiran, Malaysia mampu melangkah ke hadapan dan mencapai kemajuan lebih pesat.

“Walaupun saya sudah berusia, tetapi pandangan saya kekal optimis. Harapan saya tinggi menggunung kerana saya benar-benar cintakan negara ini. Melihat potensi rakyat, khususnya generasi muda, saya yakin kita mampu mengangkat martabat semua kaum,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru semua pihak agar memberi tumpuan kepada usaha melahirkan generasi berdaya saing yang bersedia menghadapi cabaran masa depan, terutama dalam bidang teknologi tinggi seperti AI.

Dalam lawatan kerja sehari ke Perak itu, beliau turut menegaskan bahawa Malaysia mampu melonjak ke tahap lebih baik sekiranya dipimpin oleh barisan kepimpinan yang bersih, berwibawa dan tidak mudah digugat oleh anasir yang melemahkan pentadbiran awam.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com