Sunday, 5, May, 2024
Utama Nasional Takiyuddin tak payah jadi peguam!’ -Anwar

Takiyuddin tak payah jadi peguam!’ -Anwar

oleh admin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menepis dakwaan bahawa perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia yang ditandatanganinya baru-baru ini, tidak mendapat pandangan pakar-pakar berkaitan termasuk maritim.

Beliau turut mempersoalkan sumber maklumat Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang membuat dakwaan berkenaan.

“Apa soalan Kota Bharu (Takiyuddin)? Ramai berpandangan… pakar maritim… Siapa? Pandangan pakar mana yang dibicarakan? Kemudian, telah melanggar (peraturan) yang mana?

“Peraturan mana? Peruntukan mana? Dia (seorang) peguam (tetapi) bincang samar-samar benda ini, Tak payah (jadi) peguam, ketua kampung pun boleh. Peguam harus spesifik. Nak marah apa, jawablah,” katanya menjawab soalan tambahan Takiyuddin pada Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan sudah memaklumkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa perjanjian persempadan berkenaan terletak tiga batu nautika dari perbatasan Johor.

“Bagi Sabah pula, Sabah tidak dimeterai dalam hal ini. Ketua Menteri Sabah dimaklumkan bahawa memuktamadkan Pulau Sebatik dan kawasan yang melibatkan Tawau dan Sabah itu, ditangguhkan sehingga ada persetujuan baharu kerana kita belum bersetuju. Saya ada cakap tadi (dalam jawapan), dengarlah.

“Ada pakar maritim mana? Saya dah sebut nama-nama (seperti) Kementerian Luar, Jabatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan, dan Pusat Hidrografi Nasional Malaysia.

“Menteri dan Kementerian Luar yang menjalankan banyak tugas itu, tetapi sebelum saya memeterai perjumpaan akhir (dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo), saya masih berdepan dengan mereka. Jadi pakar-pakar ini mengesah.

“Ada pakar baharu yang Kota Bahru nak sebut, carilah? Sebut pada saya nama siapa. Itu pakai semborono je,” kata Anwar lagi.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Perdana Menteri, Anwar supaya memberi penjelasan berhubung perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia yang ditandatanganinya.

Muhyiddin mendakwa Perdana Menteri menandatangani perjanjian walaupun pakar maritim menasihatkan supaya tidak menandatangani perjanjian berkenaan.

Persempadanan Laut Selat Melaka dan Perjanjian Persempadanan Sulawesi merupakan dua daripada enam instrumen dua hala Malaysia Indonesia dimeterai Khamis lalu sempena lawatan kerja Joko Widodo ke negara ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com