Wednesday, 7, May, 2025
Utama Negeri 39 Pelajar, seorang staf dijangkiti penyakit berjangkit selepas sertai kem

39 Pelajar, seorang staf dijangkiti penyakit berjangkit selepas sertai kem

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Seramai 39 pelajar dan seorang staf sebuah sekolah di sini dilaporkan mengalami jangkitan penyakit berjangkit selepas menyertai sebuah kem di Yan baru-baru ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria, berkata simptom yang dialami oleh mereka termasuk demam, batuk, dan ruam pada badan, namun punca penyakit berjangkit tersebut masih belum dikenal pasti.

Menurut beliau, aktiviti di kem tersebut melibatkan seramai 763 peserta, namun hanya 39 individu dikesan mengalami simptom setakat ini.

“Kesemua pelajar dan kakitangan sekolah yang terlibat telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk menerima rawatan lanjut. Alhamdulillah, mereka kini berada dalam keadaan stabil ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mansor menyeru agar semua pihak lebih peka terhadap kebersihan persekitaran, baik di kediaman mahupun kawasan rekreasi, bagi mengelakkan penularan penyakit seumpama ini.

Beliau juga menggesa komuniti untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan segera mendapatkan rawatan jika terdapat gejala seperti demam dan ruam, gelembung kulit, batuk atau selesema, muntah atau cirit-birit.

Terdahulu, maklumat mengenai penularan penyakit ini dikaitkan dengan sebuah kem di Yan dan telah menjadi perhatian di media sosial.

Pihak berkuasa kini sedang melakukan siasatan menyeluruh terhadap kluster penyakit berjangkit berkenaan.

“Saya ingin menekankan pentingnya semua pihak melaporkan sebarang kes yang menunjukkan gejala serupa bagi membolehkan kita memantau dan menangani isu ini dengan lebih efektif,” tambah Mansor.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com