Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri E-idaman santuni 123 asnaf sempena Ramadan Kita Kedah

E-idaman santuni 123 asnaf sempena Ramadan Kita Kedah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – E-Idaman Sdn Bhd (EISB) meraikan 123 asnaf dari seluruh negeri Kedah dalam program Ramadan Kita Kedah anjuran bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah, Pertubuhan Kebajikan Irdeco (Deco Care) dan Kelab Media Elit Kedah (KMEK).

Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud berkata, program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat dalam mengurangkan beban serta membawa keceriaan kepada mereka yang kurang berkemampuan terutamanya ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri yang bakal tiba nanti.

Menurutnya, Program Ramadan Kita telah dilaksanakan sejak 2022 di negeri Kedah dan juga Perlis dan EISB juga berbesar hati kerana mendapat sokongan dan kerjasama daripada pihak Kerajaan, Swasta dan juga Badan Bukan Kerajaan untuk menjayakan program ini.

“EISB juga berterima kasih kepada Kelab Media Elit Kedah yang telah menjadi rakan strategik E-Idaman dalam ketiga-tiga siri program Ramadan Kita Kedah sejak 2022.

“E-Idaman akan terus komited membantu mereka yang kurang berkemampuan dan mengalukan-alukan jalinan kerjasama daripada pihak Kerajaan serta swasta program seperti ini,” katanya.

Tambah beliau, program ini merupakan acara tahunan EISB sempena Ramadan bagi berkongsi keceriaan bersama mereka yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, EISB menyumbang RM 27,000 berserta kuih raya untuk semua penerima.

“120 penerima akan menerima RM200 setiap seorang, manakala tiga keluarga akan menerima RM1,000 setiap satu. Selain itu, semua penerima akan mendapat bakul makanan sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Irdeco (Deco Care).

“Sumbangan wang tunai akan disalurkan melalui sistem GoBarakah yang dibangunkan oleh LC Wakaful Digital Sdn Bhd. Bantuan akan disalurkan kepada penerima secara E-baucer yang boleh ditebus nilai secara tunai atau digunakan secara langsung untuk membeli barangan di kedai-kedai terpilih,” katanya lagi.

Turut hadir pada program ini adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dr Mohd Faisal Mustaffa, Ketua Pegawai Eksekutif Irdeco Group, Ahmad Irwan Ariffin dan Presiden Kelab Media Elit Kedah, Adie Suri Zulkifli.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com