KANGAR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Malaysia mesti memperkukuh kekuatan dalaman dan daya tahan ekonomi bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik global, termasuk kesan dasar tarif Amerika Syarikat.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perlis bersama Menteri Besar, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta Persekutuan di Pejabat Pembangunan Negeri Perlis hari ini.
Dalam mesyuarat itu, Anwar mengarahkan jentera kerajaan mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek tanpa dibelenggu kerenah birokrasi, selain memperketat pemantauan serta mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang melengahkan projek hingga menjejaskan rakyat.
Menteri Besar Perlis turut membentangkan keutamaan pembangunan negeri, meliputi infrastruktur asas seperti jalan raya, kawalan banjir, sektor pelancongan, pelabuhan serta pendidikan.
Antara projek utama yang dibangkitkan termasuk pembangunan Pelabuhan Sanglang, pembinaan semula Sekolah Kebangsaan Chuping, penyelesaian projek terbengkalai Sekolah Sukan Malaysia Perlis, dan naik taraf kolam takungan banjir Chuping.
Mengambil kira kepentingan pendidikan, Anwar mengarahkan pembinaan semula Sekolah Kebangsaan Chuping dimulakan tahun ini, manakala projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis diserah kepada syarikat kerajaan berkeupayaan untuk disiapkan segera.
Beliau menegaskan perlunya jentera Kerajaan Persekutuan dan Negeri berani berfikir di luar kerangka lama bagi mempercepatkan penyelesaian masalah rakyat dan memperkukuh ekonomi negara.
Anwar yakin, pendekatan ini mampu mengangkat martabat rakyat dan meletakkan Malaysia sebagai negara berdaya saing di peringkat antarabangsa.