Tuesday, 24, June, 2025
Utama Nasional PM zahir takziah  pemergian SU Agung IKRAM, Shahrul Aman

PM zahir takziah  pemergian SU Agung IKRAM, Shahrul Aman

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia, Shahrul Aman Mohd Saari, yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Kanser Negara (IKN) pagi Isnin.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar turut mendoakan agar roh Allahyarham diberi keampunan dan keluarganya dikurniakan kekuatan menghadapi saat kehilangan ini.

“Mendoakan rohnya diberi keampunan dan keluarganya diberi kekuatan setingginya saat ini,” tulis beliau ringkas.

Shahrul Aman bukan sahaja aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah pernah menerajui Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sekitar tahun 2018.

Pertubuhan IKRAM dalam kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham akan disolatkan selepas solat Zuhur di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan.

Pemergian Allahyarham dianggap satu kehilangan besar kepada gerakan masyarakat sivil dan mereka yang memperjuangkan reformasi serta keadilan dalam negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com