KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan harapan agar hubungan diplomatik dan ukhuwah antara Malaysia dan Mesir terus diperkukuh, lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran global yang semakin rumit.
Beliau menekankan perlunya kerjasama erat menerusi pendekatan yang bijaksana dan pelbagai saluran yang progresif.
Perdana Menteri berkata demikian selepas menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Nasr menyuarakan penghargaan atas hubungan mesra yang terjalin antara kedua-dua negara, yang menurutnya semakin kukuh di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Kerjasama ini terserlah dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perdagangan serta pendidikan, antaranya melalui penubuhan Institut Bahasa Arab hasil kerjasama pintar antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Al-Azhar di Kaherah.
“Selain itu, terdapat juga kerjasama kemanusiaan menerusi bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza, serta sektor pelancongan yang menunjukkan perkembangan positif di kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Hantaran tersebut turut memaparkan beberapa gambar pertemuan antara Anwar dan Nasr yang berlangsung di Perdana Putra, Putrajaya.
Nasr, yang telah berkhidmat sebagai Duta Besar Mesir ke Malaysia selama hampir empat tahun, akan menamatkan tugasnya secara rasmi esok.