PUTRAJAYA:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima anugerah tertinggi daripada Republik Kosovo, ‘Order of Independence’, sekali gus menjadi satu lagi pengiktirafan antarabangsa yang mengangkat peranan Malaysia di pentas global.
Anugerah berprestij itu merupakan penghormatan awam tertinggi yang dikurniakan oleh Kosovo kepada individu yang memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan dan pembangunan negara berkenaan.
Majlis penganugerahan berlangsung secara ringkas tetapi penuh bermakna di Bangunan Perdana Putra, di sini, dan disampaikan sendiri oleh Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, anugerah tersebut mengiktiraf sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap kedaulatan Kosovo serta usaha berterusan Perdana Menteri dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Sebagai tambahan, Dr Osmani turut mengumumkan bahawa anugerah sama akan diberikan secara anumerta kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Penghormatan itu sebagai pengiktirafan atas kepemimpinan beliau ketika detik penting dalam sejarah Kosovo, khususnya apabila Malaysia menjadi antara negara pertama mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada 30 Oktober 2008.