Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional 2.2 tan daun ketum ditinggalkan di muara Kuala Sala

2.2 tan daun ketum ditinggalkan di muara Kuala Sala

oleh Ammar Haziq
Bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan longgokan plastik hitam yang mencurigakan dalam keadaan berselerak di tepi muara Kuala Sala. – video Maritim Malaysia

KUALA KEDAH, 20 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 2.2 tan daun ketum di perairan muara Kuala Kedah pada kedudukan 0.15 batu nautika muara Kuala Sala sekitar jam 6.00 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, rampasan ini berikutan maklumat risikan berkaitan aktiviti pemunggahan mencurigakan berlaku di muara Kuala Sala.

Berikutan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di perairan Kuala Kedah  diatur gerak bagi mengesan aktiviti ini.

Setiba di lokasi berkenaan, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan longgokan plastik hitam yang mencurigakan dalam keadaan berselerak di tepi muara.

Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan plastik  berkenaan menemukan daun hijau disyaki daun ketum berjumlah 220 bungkus dan dianggarkan seberat 2.2 tan yang dipercayai baru sahaja diletakkan di lokasi terbabit.

Hasil rampasan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM396 ribu itu, dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut. foto Maritim Malaysia

Kesemua daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut.

Semua hasil rampasan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM396 ribu itu, dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan bahan terlarang ini. Sepanjang bulan ini sahaja, tiga kes rampasan daun ketum telah berjaya ditumpaskan dengan nilai anggaran RM 380 ribu.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com