Wednesday, 7, May, 2025
Utama Nasional Anwar terima kunjungan M Nasir, bincang hala tuju industri seni tempatan

Anwar terima kunjungan M Nasir, bincang hala tuju industri seni tempatan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan seniman tersohor, Datuk M Nasir di pejabatnya di Putrajaya, semalam bagi membincangkan perkembangan industri kreatif, seni dan budaya tanah air.

Dalam pertemuan itu, Anwar menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mempergiat usaha menyokong anak-anak seni tempatan supaya mereka mampu menghasilkan karya bermutu tinggi dan berdaya saing.

“Semalam saya terima kunjungan seniman ulung Datuk M Nasir di Putrajaya. Dalam pertemuan ini kami bicara soal industri kreatif, seni dan budaya tempatan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Perdana Menteri berkata, beliau turut menitipkan pesanan kepada M Nasir agar terus kekal kreatif dan aktif dalam penghasilan karya seni tanah air.

M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed, 67, yang sinonim dengan karya-karya berintelektual dan berunsur ketuhanan, dianggap antara tokoh paling berpengaruh dalam perkembangan muzik dan seni kreatif Malaysia.

Selain sebagai penyanyi dan komposer, beliau turut dikenali sebagai pelakon, penulis lirik dan pengarah seni yang banyak menyumbang kepada pengukuhan identiti budaya dalam dunia hiburan tempatan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com