Wednesday, 7, May, 2025
Utama Umum Perut membesar ingat hamil, rupanya Norsiah hidap kanser hati

Perut membesar ingat hamil, rupanya Norsiah hidap kanser hati

oleh Ammar Haziq

BALING – Seorang wanita terkejut apabila mendapati perutnya semakin membesar seperti wanita hamil, namun akhirnya disahkan menghidap kanser hati tahap empat .

Norsiah Hashim, 35 , pada mulanya menyangka dirinya mengandung apabila perubahan fizikal yang dialaminya menyerupai wanita hamil, namun pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, membawa berita yang mengejutkan.

“Saya sangka saya hamil kerana perut semakin besar, tetapi selepas doktor menjalankan pemeriksaan, saya disahkan menghidap kanser hati tahap empat , yang menyebabkan perut saya dipenuhi cecair,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bok Bak, Kupang .

Keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga menyukarkannya untuk bergerak tanpa bantuan.

“Saya sekarang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan perlahan dalam rumah kerana pergerakan menjadi sangat terbatas.

“Selain itu, saya cepat mengah dan mudah penat walaupun hanya melakukan aktiviti ringan,” katanya.

Lebih menyedihkan, suaminya, Mohd Zaki Md Isa, 36 , turut diuji dengan penyakit buah pinggang kronik dan perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu .

Mohd Zaki yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat telekomunikasi , terpaksa berhenti kerja kerana kesihatan semakin merosot dan kerap pitam di tempat kerja.

“Kami hanya bergantung kepada bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk makan minum dan kos ulang-alik ke hospital,” tambah Norsiah.

Selain masalah kesihatan pasangan ini, ahli keluarga mereka juga menghadapi pelbagai cabaran seperti bapanya, Hashim Lahman, 72 , mengalami masalah penglihatan dan pernah menjalani pembedahan pada 2022.

Menurutnya, abang sulungnya meninggal dunia akibat kanser mulut pada November tahun lalu manakala kakaknya, Siti Hajar, seorang OKU pekak dan bisu , serta anaknya Muhammad Syukur, 21, pula seorang OKU pelbagai .

Mereka bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneruskan kehidupan.

Menurut doktor, Norsiah memerlukan penderma untuk menjalani pembedahan kanser hati , tetapi sehingga kini masih belum menemui penderma yang sesuai.

“Keadaan saya semakin lemah, sementara suami pula perlu menjalani rawatan dialisis dengan kerap,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 152031673575 atas nama Norsiah Hashim .

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal , turut menziarahi keluarga ini dan menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur .

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com