Monday, 29, April, 2024
Utama Umum Pak Ishak terima bantuan zakat sejak 2007

Pak Ishak terima bantuan zakat sejak 2007

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memaklumkan warga emas, Ishak Darus yang tinggal di sebuah rumah usang yang menjadi tular selepas dibantu oleh Ustaz Ebit Lew semalam merupakan penerima bantuan zakat bermula sejak tahun 2007.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata, keluarga tersebut yang tinggal Lorong Gedebang, Mukim Derga di sini juga menerima bantuan makanan fakir/miskin bulanan, bantuan kewangan fakir/miskin bulanan, nantuan Hari Raya Aidilfitri, bantuan awal persekolahan, nantuan tahunan dan bantuan jaya diri.

“Berdasarkan siasatan kami juga, Pak Ishak kini mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan mempunyai tiga orang anak lelaki dan tujuj orang anak perempuan yang masing-masing berumur 33 tahun sehingga 17 tahun.

“Ada di antara anak Pak Ishak ini yang telah berkahwin dan mempunyai anak lapan daripada 10 orang anaknya tersebut kini tinggal bersama-sama dengan Pak Ishak di rumah tersebut bersama-sama 10 orang cucu yang lain menjadikan keseluruhan isi rumah yang tinggal di sana seramai 20 orang.

“Sesungguhnya isu dan kisah Pak Ishak ini amat dekat di hati kami sebagai seorang ayah yang kami sayang,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.

Zakaria Othman

Selain itu, Zakaria menambah, usaha memujuk Pak Ishak sekeluarga untuk berpindah dari rumah yang tidak terurus di Lorong Gedebang tersebut dan tinggal di rumah baharu telah bermula sejak 12 tahun yang lalu.

Jelasnya, masalah berkenaan juga telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk jiran-jiran di kampung tersebut, pihak masjid, pihak JKM dan juga ditambah dengan tawaran dua buah rumah daripada pihak Kerajaan Negeri Kedah.

Namun, menurutnya, bermacam alasan yang diberikan beliau untuk mengelak daripada berpindah daripada rumah yang dibina di atas tanah orang tersebut.

“Pak Ishak juga telah ditawarkan rumah KEDA di Pokok Sena, namun tetap ditolak oleh beliau sekeluarga atas pelbagai alasan,” katanya.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, rundingan dan tawaran juga telah dibuat kepada beliau oleh pemilik Tanah tempat tapak rumah tersebut dibina sehingga akhirnya satu salinan Penghakiman dari Mahkamah Majistret telah dikeluarkan bertarikh 5 Februari 2020 yang mengarahkan Pak Ishak sekeluarga berpindah, namun tetap menemui titik gagal sejak sekian lama.

Selain itu, beliau berkata, pelbagai agensi kerajaan, badan NGO serta penduduk kampung juga sentiasa menghulurkan bantuan kepada keluarga ini.

“Saya amat menghargai usaha Al-Fadhil Ustaz Ebit Lew dan pasukannya di atas kemahiran mereka yang berjaya memujuk keluarga Pak Ishak keluar daripada kediaman tersebut.

“Sesungguhnya niat murni ini amat disanjung dalam membantu pihak LZNK menyantuni lebih 15,773 orang asnaf yang ada di negeri Kedah (sehingga 21 April 2020) termasuk Pak Ishak dan masa depan anak-anak dan cucu-cucu beliau yang masih tidak mengerti apa-apa,” katanya.-KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com