KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan keperluan merangka strategi baharu dalam sistem pendidikan negara yang lebih berani, menyeluruh dan berpandangan jauh menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, dasar lama perlu disemak dan pendekatan sedia ada harus disegarkan supaya pelaburan melalui RMK-13 benar-benar memberi impak terhadap masa depan pendidikan negara.
“Setiap ringgit yang dibelanjakan mesti membuahkan hasil dalam membentuk sistem pendidikan yang adil, progresif dan mampu menjulang masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bersama barisan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan bagi membincangkan hala tuju pendidikan negara menjelang *RMK-13.
Antara isu utama yang dibincangkan termasuk pendidikan prasekolah dan latihan guru, peningkatan kemahiran di Institut Pendidikan Guru (IPG), pelaksanaan pembangunan profesional berterusan (CPD) dan pemantapan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Selain itu, turut disentuh adalah pengajian Tingkatan Enam dan matrikulasi, isu keciciran murid, serta permit mengajar bagi sektor awam dan swasta.
Menurut Anwar, negara perlu menyusun semula Pelan Induk Pendidikan Negara agar lebih selari dengan cabaran semasa.
“Dunia sedang berubah pantas. Kita tidak boleh terperangkap dengan nostalgia atau terus terikat dengan perancangan silam yang mungkin tidak lagi relevan,” tegasnya.
Beliau berharap segala perbincangan ini dapat digerakkan dengan pendekatan yang tersusun, menyeluruh dan berani, demi masa depan anak-anak dan tenaga pengajar.