Sunday, 5, May, 2024
Utama Nasional Muhyiddin perlu tumpu kes mahkamah

Muhyiddin perlu tumpu kes mahkamah

oleh admin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta tidak mendesak pihak lain meletak jawatan sebaliknya beliau perlu memberi tumpuan kepada kes-kes mahkamah yang dihadapinya ketika ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata desakan Muhyiddin itu tidak sepatutnya disuarakan berikutan kerajaan masih mempunyai dua pertiga majoriti ahli Parlimen serta memenangi tiga negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

“Kita kekal dengan kemenangan tiga negeri, kita masih dapat dua pertiga majoriti ahli Parlimen. Dia (Muhyiddin) fikirkan apa? Saya nasihatkan dia tumpu kes mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita di ibu negara, hari ini.

Anwar berkata demikian susulan desakan Muhyiddin agar beliau dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan serta-merta susulan penolakan pengundi Melayu dalam PRN lepas.

Muhyiddin dilapor berkata, kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh serta perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar dan Ahmad Zahid.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama antara lerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ditadbir pembangkang, Anwar berkata, perkara itu terserah kepada sikap mereka sekiranya mahu bekerjasama.

“Terserah kepada sikap mereka (pembangkang)… jika mereka mahu kerjasama… saya akan ikut kaedahnya, bukan saja dari segi kenyataan begitu juga tindakan.

“Saya nak pastikan semangat tatakelola itu betul. Mahu wang untuk orang miskin bagi dekat orang miskin, jangan dialihkan ke lain… saya akan tegas bab ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com