Thursday, 21, August, 2025
Utama Nasional 144 Projek Pembangunan Bernilai RM14 Bilion Dilaksana di Sabah

144 Projek Pembangunan Bernilai RM14 Bilion Dilaksana di Sabah

oleh Ammar Haziq

TAWAU:Kerajaan Madani telah melaksanakan sebanyak 144 projek pembangunan di Sabah setakat ini dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM14 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, antara projek utama yang sedang dilaksanakan termasuk kerja menaik taraf Hospital Tawau dan Penjara Lahad Datu, pembinaan pelabuhan kontena di Sepanggar Bay serta cadangan pembinaan sebuah pusat perubatan jantung di Kota Kinabalu.

“Kerajaan turut memperuntukkan lebih RM350 juta bagi pelaksanaan Program Solar Madani, dengan Tawau dipilih sebagai lokasi projek rintis. Ia melibatkan pemasangan 40 tiang lampu solar dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta penglibatan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan kedai dan gerai kecil di seluruh negeri menerusi Projek Siap Tamu Sabah.

“Sempena sambutan Hari Ibu hari ini, saya umumkan peruntukan ini sebagai hadiah kepada para ibu yang berniaga di Tamu Desa, agar mereka dapat berniaga dengan lebih selesa serta terlindung daripada panas dan hujan,” jelasnya.

Tambah beliau, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan kerajaan untuk menambah baik kehidupan rakyat Sabah, merangkumi isu bekalan tenaga, kemudahan pendidikan dan perumahan anggota keselamatan.

“Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri yang melupakan kesusahan rakyat. Justeru, Kerajaan Madani terus komited membangunkan Sabah dari segi kesalinghubungan, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta menoktahkan kemiskinan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com