Wednesday, 14, May, 2025
Utama Nasional Nahas FRU : Akmal Wafi wira negara dan keluarga – bapa

Nahas FRU : Akmal Wafi wira negara dan keluarga – bapa

oleh Ammar Haziq

KULIM – Pemergian Konstabel Akmal Wafi Annuar dalam nahas tragis di Teluk Intan bukan sahaja satu kehilangan besar kepada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), tetapi juga kepada keluarganya yang menganggap beliau sebagai seorang wira.

Bapanya, Annuar Yusof, 55, berkata penghormatan yang diberikan kepada anak sulungnya sangat bermakna, meskipun Akmal Wafi baru sahaja menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berkhidmat di FRU Unit 5 sejak awal tahun ini.

“Saya terharu, arwah baru menyertai PSP (FRU), saya anggap pengorbanan dia masih baru… tetapi telah diberikan penghormatan yang amat besar.

“Secara peribadi, saya dan keluarga rasa bangga dengan arwah,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tunku Abdul Rahman Putra (B), Lunas, pagi Rabu.

Annuar berkata, sebelum menyertai pasukan beruniform, Allahyarham bekerja dalam sektor swasta dengan pendapatan yang baik, namun tetap memilih untuk berkhidmat dalam pasukan keselamatan.

“Bila masuk dalam pasukan beruniform, dia lebih berdisiplin, menjaga integriti… hari ini saya lihat dia sebagai seorang wira dalam keluarga.

“Satu penghormatan buatnya, walaupun pengorbanannya baru sahaja bermula,” katanya dengan nada sebak.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pihak PDRM dan FRU Unit 5, Ipoh, yang telah membantu menguruskan jenazah anaknya sehingga selesai dengan sempurna.

“Saya bersyukur semua berjalan lancar dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu,” ujarnya.

Akmal Wafi merupakan salah seorang daripada sembilan anggota FRU yang terkorban dalam nahas melibatkan kenderaan pasukan yang bertembung dengan lori muatan batu di Jalan Chikus – Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, pada Selasa pagi.

Difahamkan, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas bawah Op Chariot.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com