Thursday, 15, May, 2025
Utama Ekonomi PM Anwar Perkasa Hubungan Dagang Malaysia-Rusia

PM Anwar Perkasa Hubungan Dagang Malaysia-Rusia

oleh Ammar Haziq

MOSCOW: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan hari kedua lawatan rasmi ke Rusia dengan mengadakan beberapa sesi libat urus berprofil tinggi bagi memperkukuh hubungan dagang serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Moscow.

Beliau memulakan jadual rasmi hari ini dengan menghadiri sesi meja bulat bersama pemimpin industri Rusia yang diadakan di Hotel Metropol. Sesi berkenaan melibatkan penyertaan 24 syarikat utama serta dua majlis perniagaan negara itu.

Perbincangan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam sektor-sektor utama seperti pertanian, teknologi, logistik, pembuatan serta perkhidmatan kewangan yang mempunyai potensi besar untuk diterokai bersama.

Sesi itu turut menjadi platform penting untuk memperkenalkan kekuatan dan kelebihan Malaysia sebagai rakan dagang strategik yang stabil dan progresif di rantau Asia Tenggara.

Anwar diiringi lima menteri Kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Turut serta dalam delegasi adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang memainkan peranan penting dalam bidang-bidang perbincangan yang dibawa.

Selepas sesi meja bulat, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin di Rumah Kerajaan untuk membincangkan pelbagai inisiatif termasuk kemudahan perdagangan dan kerjasama dalam pendidikan serta ekonomi.

Delegasi Malaysia kemudian akan meneruskan lawatan rasmi ke Istana Grand Kremlin bagi mengadakan pertemuan penting dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang dijangka menyentuh pelbagai isu strategik.

Antara topik utama termasuk kerjasama dalam pertukaran teknologi, tenaga, keselamatan makanan, pendidikan tinggi, ekonomi halal serta penglibatan Malaysia dalam BRICS dan platform Global South.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com