Saturday, 24, May, 2025
Utama Ekonomi Anak muda perlu rebut peluang dalam ledakan industri semikonduktor

Anak muda perlu rebut peluang dalam ledakan industri semikonduktor

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU: Golongan muda disaran merebut peluang keemasan susulan lonjakan pesat industri semikonduktor di Malaysia yang kini menjadi tumpuan pelabur utama dunia, sekali gus membuka ruang luas dalam sektor berteknologi tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini tampil sebagai hab penting semikonduktor serantau bukan hanya dalam segmen rantaian bekalan peringkat asas, bahkan mula mencuri perhatian syarikat gergasi global untuk melabur dan mengembangkan operasi mereka di negara ini.

“Malaysia sekarang menjadi hab semikonduktor di rantau ini… syarikat-syarikat besar seperti Infineon di Kedah, nVidia di Johor dan semalam MaiStorage di Cyberjaya memilih untuk beroperasi di sini.

“Bayangkan, tiga gergasi semikonduktor dunia ini telah bertapak di Malaysia… jadi anak-anak muda mesti ambil peluang sebaik mungkin untuk manfaatkan perkembangan ini dan jadikan Malaysia negara hebat di rantau kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MADANI Rakyat 2025 Johor di Toppen Shopping Centre, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selaku menteri peneraju program; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama barisan EXCO negeri.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa pencapaian ini harus diterjemah menjadi kelebihan untuk belia negara, khususnya mereka yang menceburi bidang kejuruteraan, teknologi maklumat serta aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia kini antara lima negara yang mempunyai keupayaan menghasilkan cip teknologi tinggi seperti dibangunkan syarikat tempatan, MaiStorage.

Negara lain yang berada dalam senarai itu termasuk Amerika Syarikat, China dan Taiwan.

“Kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa kesungguhan anak-anak kita dan mereka yang menuntut dalam bidang kejuruteraan serta TVET mesti berusaha gigih untuk meningkatkan keupayaan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan tentang pentingnya kestabilan dan keharmonian dalam memastikan kemajuan dicapai tidak terjejas oleh anasir perpecahan.

“Kita mesti hapuskan elemen yang merosakkan negara. Ini baru makna merdeka rakyat dan negara, apabila kita mampu urus kepentingan kita sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com