Saturday, 24, May, 2025
Utama Ekonomi Kerajaan komited perkukuh infrastruktur sokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

Kerajaan komited perkukuh infrastruktur sokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan komited memperkukuh infrastruktur dan kemudahan berkaitan bagi memastikan kejayaan menyeluruh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sekali gus menjadikan Johor sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan berterusan akan diberikan bagi memperkukuh keyakinan pelabur terhadap zon ekonomi itu yang kini mula menunjukkan perkembangan memberangsangkan hasil kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura.

“Alhamdulillah, inisiatif antara dua negara ini telah berjaya menarik minat dan keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur untuk melabur di Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, beliau menghargai taklimat yang diberikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkenaan kemajuan pelaburan luar di negeri itu, khususnya berkaitan pelaksanaan projek strategik JS-SEZ.

Menurutnya, beliau turut menghadiri beberapa perbincangan penting sepanjang lawatan kerja ke Johor hari ini, termasuk Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Kota Iskandar yang dihadiri pimpinan negeri dan Persekutuan.

“Dalam mesyuarat ini, saya tegaskan komitmen terhadap tadbir urus yang cekap dan berintegriti, khususnya dalam aspek pengurusan, kewangan dan pentadbiran.

“Hal ini termasuk soal keselamatan dan kesihatan rakyat dalam pelaksanaan projek yang melibatkan perolehan peralatan dan perkhidmatan.

“Kita perlu menerapkan pendekatan berhikmah dan berfikir di luar kotak agar penjimatan yang dicapai dapat disalurkan kepada keperluan lain yang lebih mendesak, terutamanya dalam bidang kesihatan awam dan pendidikan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Negeri Johor turut membentangkan beberapa projek pembangunan utama yang sedang dan bakal dilaksanakan di negeri itu.

“Kerajaan negeri turut membentangkan projek-projek pembangunan yang menjadi keutamaan di Johor termasuk isu bekalan air mentah, sistem akses di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

“Pembentangan turut melibatkan pengoperasian Hospital Pasir Gudang, hal ehwal tanah serta beberapa projek prapelaksanaan yang sedang dalam perancangan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com