Friday, 30, May, 2025
Utama Ekonomi ASEAN tidak memihak, kekal bekerjasama dengan semua kuasa besar

ASEAN tidak memihak, kekal bekerjasama dengan semua kuasa besar

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN kekal dengan pendirian berkecuali serta tidak condong kepada mana-mana kuasa besar, termasuk China, meskipun penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China berlangsung baru-baru ini.

Beliau berkata, dakwaan yang menyatakan ASEAN lebih cenderung kepada China adalah tidak berasas kerana blok serantau itu secara konsisten mengambil pendekatan inklusif dengan membuka ruang kepada semua kuasa besar dunia, termasuk Amerika Syarikat (AS), untuk bekerjasama.

“Jadi saya tidak bersetuju dengan pandangan bahawa ASEAN berat ke arah China. Jika esok saya terima surat persetujuan daripada (Presiden) Trump, maka ya kita akan adakan (Sidang Kemuncak ASEAN-AS) pada Jun atau tidak jauh dari Jun. Jika beberapa bulan seterusnya, pun tidak ada masalah,” katanya.

Menurut Anwar, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 telah menerima konsensus negara-negara anggota untuk terus mengukuhkan hubungan dengan AS, dan beliau sendiri telah mengambil inisiatif untuk menulis surat kepada Presiden Donald Trump bagi menyatakan kesediaan menganjurkan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS dalam masa terdekat.

“Susulan itu saya telah menulis surat kepada Presiden Trump, mengatakan bahawa Menteri-menteri Luar dan Pemimpin ASEAN, kami bersetuju untuk meneruskan dengan cadangan Sidang Kemuncak ASEAN-AS. Kemudian kita pun sudah mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China,” katanya lagi.

Jelas Perdana Menteri, pendirian ASEAN adalah berasaskan prinsip kepusatan (centrality), dengan memberi tumpuan utama kepada kebajikan rakyat serta memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan tanpa memilih pihak.

“Mengapa? Kerana pendirian kita adalah pemusatan. Di mana fokusnya? Kebajikan rakyat, hubungan ekonomi, perdagangan, pelaburan. Adakah itu bermaksud bekerja dengan China? Ya. Amerika Syarikat? Ya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung selama dua hari di ibu negara, bermula semalam.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut memaklumkan bahawa sidang akan datang pada Oktober depan dijangka membawa perbincangan yang lebih signifikan, khususnya dalam isu berkaitan Myanmar yang masih dibelenggu konflik dalaman.

Menurut beliau, pencapaian yang diraih ketika ini adalah hasil usaha gigih pegawai-pegawai kerajaan yang telah berjaya menterjemahkan cadangan kepada tindakan, lebih awal daripada kebiasaan.

“Pengalaman ini, terhasil daripada kerja keras pegawai kita, kemudian diterjemahkan kepada cadangan, adalah sesuatu yang jarang berlaku. Perkara yang biasa dibincangkan atau dicapai pada bulan Oktober, sudah berjaya dilakukan sekarang, dan kita terus mencapai kemajuan,” katanya.

Mengulas lanjut isu Myanmar, Anwar berkata, konsensus yang dicapai oleh negara-negara ASEAN adalah untuk meneruskan rundingan secara berterusan, dengan perkembangan positif apabila kedua-dua pihak, kerajaan dan kumpulan prodemokrasi telah memasuki fasa konsultasi, walaupun masih di peringkat awal.

“Pada pandangan saya, isu seperti Myanmar, konsensus yang tercapai ialah terus berunding, dan kini kita sudah memasuki tahap di mana kedua-dua pihak (kerajaan dan kumpulan prodemokrasi) dalam peringkat konsultansi, biarpun di peringkat bawahan,” jelasnya.

Katanya lagi, rundingan tersebut kini menumpukan kepada usaha lanjutan gencatan senjata dan penyampaian bantuan kemanusiaan, sebagai langkah awal menuju perdamaian yang lebih menyeluruh berdasarkan Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui ASEAN sebelum ini.

“Dan mereka sedang memberi fokus untuk lanjutan gencatan senjata, bantuan kemanusiaan, dan seterusnya ke arah perbincangan mencapai keamanan, berdasarkan Konsensus Lima Perkara, satu tahap yang bagi kemajuan yang cukup besar,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com