Friday, 30, May, 2025
Utama Ekonomi Kerjasama IMT-GT pacu projek infrastruktur, rentas sempadan bernilai US$39 Bilion

Kerjasama IMT-GT pacu projek infrastruktur, rentas sempadan bernilai US$39 Bilion

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT) kini giat menyokong pelaksanaan projek-projek infrastruktur fizikal ekonomi yang dianggarkan bernilai hampir US$39 bilion, melibatkan ketiga-tiga negara terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus utama inisiatif ini meliputi pelbagai sektor strategik termasuk transformasi ekonomi, pelancongan, pertanian, pembangunan sektor halal serta pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Terima kasih kepada Thailand kerana melaksanakan pelan tindakan dengan cepat. Beberapa projek di sempadan termasuk laluan ke Rantau Panjang dan jambatan sempadan Sungai Golok berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Rangka Kerjasama IMT-GT mengenai Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), di sini, pada Selasa.

Anwar turut menegaskan bahawa selain menjana pertumbuhan ekonomi serantau, kerjasama ini juga memberi tumpuan kepada isu perubahan iklim yang semakin mendesak dan memberi kesan langsung kepada kehidupan serta pendapatan masyarakat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada menteri-menteri yang terlibat kerana buat persiapan rapi untuk sesi ini,” ujarnya lagi.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada Masato Kanda atas pelantikannya sebagai Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB) yang baharu pada Februari lalu.

Beliau yakin dengan kepimpinan baharu ADB, kerjasama pelbagai hala seperti IMT-GT dapat diperkukuh dan disokong lebih kukuh melalui pembiayaan serta nasihat teknikal yang berterusan.

Anwar turut menzahirkan harapan agar segala agenda yang dirangka menerusi kerjasama IMT-GT dapat diterima semua pihak secara menyeluruh, agar pelaksanaannya berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat di kawasan terlibat.

Pada majlis berkenaan, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli turut menyampaikan pembentangan bertajuk “Memperkukuh Kerjasama Sub-Rantau bagi Menangani Cabaran Global”, yang menyentuh keperluan kerjasama lebih erat antara negara serantau dalam menghadapi tekanan ekonomi, krisis iklim dan ketidaktentuan geopolitik global.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com