KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan melabuhkan tirainya malam ini dengan pengiktirafan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengemudi perbincangan strategik serantau termasuk isu ekonomi, kemanusiaan dan keselamatan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dipuji oleh rakan sejawatnya dalam ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, atas ketegasan dan kebijaksanaan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.
Sidang kemuncak kali ini juga menjadi platform penting untuk membincangkan pelbagai cabaran global, antaranya krisis di Myanmar serta impak ekonomi susulan pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat ke atas 168 negara, termasuk anggota ASEAN.
Sebagai tindak balas, para pemimpin bersetuju memperkukuh daya tahan ekonomi serantau melalui peningkatan pelaburan dan perdagangan serta memperluas kerjasama komersial dengan blok ekonomi lain.
“Pada 2023 GCC merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah perdagangan mencecah USD130.7 bilion manakala pelaburan juga berkembang, mencerminkan keyakinan terhadap prospek jangka panjang kita,” kata Anwar dalam ucapan pembukaan sidang kemuncak ASEAN-GCC.
Antara pencapaian utama sidang ini ialah penerimaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, yang membentangkan visi jangka panjang bagi ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.
“Pengisytiharan ini adalah titik permulaan yang penting dalam perjalanan ASEAN. Integrasi serantau mestilah berpaksikan rakyat yang tulen – ini bermakna merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup, dan melabur dalam potensi manusia, seluruh rakyat kita,” kata Anwar dalam ucaptamanya.
Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 turut diterima pakai dengan enam matlamat strategik, 44 objektif dan 192 langkah, sebagai landasan mengukuhkan integrasi serta daya tahan ekonomi rantau ini.
Dalam isu antarabangsa, pemimpin ASEAN juga menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
“Kami menggesa agar keganasan di Gaza dihentikan, wujudkan gencatan senjata, bantuan kemanusiaan tanpa halangan, dan penamatan genosid. Ini adalah konsensus dalam kalangan semua pemimpin ASEAN,” kata Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Tan Sri Dr Johari Abdul.
Sidang kemuncak turut menyokong kemasukan Timor-Leste sebagai ahli penuh ASEAN, dijangka seawal Oktober ini, selain membuka pintu kepada aspirasi Papua New Guinea menyertai blok itu pada masa depan.
Dalam langkah memperkukuh rangka kerja kerjasama, Menteri-menteri Ekonomi ASEAN memuktamadkan rundingan naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) serta Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang disemak semula. Kedua-duanya dijangka ditandatangani pada Sidang Kemuncak ke-47 di Kuala Lumpur.
“Pencapaian ini akan berfungsi sebagai pelaksana penting bagi pertumbuhan mampan dan daya saing ASEAN,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. pula menekankan kepentingan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) dalam menjayakan agenda pembangunan inklusif, terutamanya dalam aspek perhubungan, perdagangan, keselamatan tenaga dan pembangunan hijau.
Dalam bidang keselamatan serantau, Menteri-menteri Luar ASEAN menerima pakai draf Adendum kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) serta Garis Panduan Penyertaan Timor-Leste dalam instrumen dan perjanjian ASEAN.
Sidang kemuncak turut menyaksikan perjanjian penting dalam sektor tenaga, apabila syarikat dari Malaysia, Singapura dan Vietnam menandatangani perjanjian pembangunan bersama bagi mengeksport tenaga boleh diperbaharui dari Vietnam ke dua negara jiran itu.
Selain itu, Malaysia, Indonesia dan Thailand memeterai Rangka Kerja Kerjasama (FoC) dalam Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di bawah kerjasama Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), bagi melancarkan pergerakan rentas sempadan dan mempermudah urusan perdagangan.
Mengenai Myanmar, Anwar sebelum ini telah menjalankan diplomasi dua hala dengan Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing serta mengadakan perbincangan maya bersama Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Mahn Winn Khaing Thann di Bangkok.
Pada sidang media penutup ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China, Anwar mengumumkan rancangan ASEAN untuk memulakan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara-negara GCC.
“(Kami adakan) pertemuan pertama dua tahun lepas di Riyadh, Arab Saudi, yang lebih kepada formaliti untuk memperkenalkan program itu, dan kami melalui beberapa bidang kerjasama tertentu,” katanya.
Keseluruhannya, siri sidang kemuncak ini dianggap berjaya, bukan sahaja merapatkan hubungan serantau tetapi turut menjadikan Asia Tenggara sebagai destinasi tumpuan perdagangan dan pelaburan global.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadualkan berlangsung pada Oktober di Kuala Lumpur, sekali lagi dipengerusikan oleh Malaysia.