Sunday, 1, June, 2025
Utama Nasional Wartawan digalak terus bersemangat, main peranan kritikal bangunkan negara – PM

Wartawan digalak terus bersemangat, main peranan kritikal bangunkan negara – PM

oleh Ammar Haziq

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru para wartawan di Malaysia agar terus bersemangat dan berpegang teguh kepada peranan penting mereka dalam memajukan negara, di samping melaporkan pahit getir yang dihadapi rakyat ketika ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pengamal media bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang diraikan setiap tahun, sambil menekankan bahawa tugas wartawan bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi juga memainkan peranan kritikal dalam menyemai kesedaran serta menjadi suara rakyat.

“Saya ucapkan selamat kepada wartawan yang memikul tugas luar biasa. Mereka memainkan peranan kritikal dalam melaporkan pahit getir rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan bersama pimpinan Pakatan Harapan Sabah di sini, malam tadi.

Menurut Perdana Menteri, wartawan juga membawa tanggungjawab yang besar dalam mendukung dan menegur demi pembangunan negeri dan negara. Katanya, peranan media sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran tidak harus dipandang ringan, malah perlu dihargai sebagai sebahagian daripada ekosistem demokrasi yang sihat.

Beliau turut mengiktiraf pengorbanan dan cabaran yang dilalui oleh wartawan, khususnya ketika menjalankan tugasan di lapangan, termasuk di kawasan berisiko dan dalam keadaan serba kekurangan.

Anwar menggesa agar para wartawan terus bekerja dengan semangat tinggi serta berpegang kepada etika kewartawanan demi menjamin integriti profesion tersebut dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berimbang kepada masyarakat.

HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun, dan bagi tahun ini, Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA dijadual berlangsung pada 14 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri.

Sambutan HAWANA 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, akan turut menyaksikan pelbagai acara menarik.

Antara acara yang dijadualkan termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei, majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun, serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com