Sunday, 1, June, 2025
Utama Ekonomi Politik stabil penting, tingkatkan keyakinan pelabur

Politik stabil penting, tingkatkan keyakinan pelabur

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kestabilan politik negara menjadi faktor utama dalam menarik minat pelabur dan memperkukuhkan ekonomi Malaysia. 

Di tengah-tengah pelbagai spekulasi mengenai perubahan kepimpinan, kerajaan menegaskan bahawa fokus utama kini adalah memastikan pertumbuhan ekonomi terus mampan serta kepentingan rakyat terjaga.

Kestabilan politik yang wujud hari ini hasil kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi kesan positif terhadap pasaran, dengan peningkatan keyakinan pelabur tempatan dan asing. 

Hari ini dapat lihat bagaimana aliran pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kerana pelabur mahukan kepastian dan kejelasan dalam dasar kerajaan.

Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha menstabilkan kos sara hidup, memperkukuh dasar ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi agenda utama. 

Kita tidak boleh membiarkan politik dalaman mengganggu tumpuan kepada pembangunan negara

Dalam pada itu, tinjauan mendapati rata-rata pemerhati politik berpendapat bahawa sebarang spekulasi mengenai rombakan kabinet tidak seharusnya mengalih perhatian daripada isu yang lebih penting.

Rakyat lebih menitikberatkan keputusan dan tindakan kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi berbanding perubahan politik yang belum pasti.

Kajian juga menunjukkan bahawa kestabilan politik mempunyai hubungan langsung dengan keyakinan pelabur serta aliran ekonomi negara. 

Pakar ekonomi berpandangan bahawa jika negara kekal stabil, lebih banyak pelaburan akan masuk, seterusnya memberi kesan positif terhadap peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, keutamaan negara haruslah terarah kepada membina sistem yang lebih kukuh dan berdikari tanpa bergantung kepada individu tertentu.

Politik matang bukan lagi bersandarkan kepada figura semata-mata, tetapi kepada sistem yang boleh berfungsi dengan berkesan.

Dalam konteks reformasi, pemerhati politik mengingatkan bahawa perjuangan membina Malaysia adalah usaha kolektif. 

Pengunduran pemimpin tertentu tidak seharusnya dilihat sebagai satu krisis, sebaliknya sebagai peluang untuk memperkukuhkan struktur dan melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa.

Dalam mana-mana organisasi demokratik, pemilihan dalaman adalah rutin dan bukan petanda ketidakstabilan.

Jangan terperangkap dalam naratif yang hanya bertujuan untuk melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Dengan asas kestabilan yang kukuh serta komitmen terhadap pembangunan ekonomi, Malaysia kini berada pada landasan yang positif untuk terus menarik pelabur dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com