Tuesday, 3, June, 2025
Utama Negeri Abang bomba selamatkan dua beradik terperangkap dalam rumah terbakar

Abang bomba selamatkan dua beradik terperangkap dalam rumah terbakar

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Dua beradik berusia empat dan tiga tahun berdepan detik cemas apabila terperangkap di tingkat atas kediaman mereka yang terbakar dalam kejadian di Taman Sri Kota, di sini pada pagi Ahad.

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berjaya menyelamatkan mereka sebelum api marak lebih besar.

Ketika kebakaran berlaku, abang sulung mereka yang berusia tujuh tahun sempat melarikan diri dan meminta bantuan jiran sebelum memaklumkan bahawa kedua-dua adiknya masih berada di dalam rumah dalam keadaan berpelukan di tingkat atas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Wan Azizul Hakim Wan Jaafar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10:16 pagi, dan jentera pertama tiba di lokasi hanya lima minit kemudian.

Pasukan bomba segera bertindak menyelamatkan kanak-kanak terbabit dengan menggunakan laluan khas yang telah disediakan sebelum membawa mereka keluar dalam keadaan selamat.

“Kami bersyukur kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan serius,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam kejadian itu, struktur rumah mengalami kemusnahan 70 peratus, manakala sebuah kereta Proton Wira turut terbakar dengan anggaran kerosakan 70 peratus.

Selain itu, lapan buah motosikal yang merupakan milik pelanggan suami mangsa yang bekerja sebagai mekanik juga musnah sepenuhnya.

Operasi pemadaman melibatkan 36 anggota* bomba, termasuk bantuan daripada beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10:37 pagi menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dan dua pancutan air tangki jentera sebelum kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh menyebabkan api marak semula,” jelas Wan Azizul.

Ketika kejadian, ibu mangsa Siti Naziana berada di luar rumah bersama dua lagi anaknya yang berusia lima dan dua tahun dalam perjalanan ke klinik.

Beliau menerima panggilan daripada jiran pada jam 10 pagi yang memaklumkan tentang kebakaran sebelum segera bergegas pulang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com