Saturday, 4, May, 2024
Utama Negeri Dua peserta Ironman Langkawi alami detik cemas

Dua peserta Ironman Langkawi alami detik cemas

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Dua peserta kejohanan triathlon, Ironman Langkawi Malaysia mengalami detik cemas semasa melakukan disiplin renang di Pantai Kok, di sini, pada pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mereka terpaksa diberi bantuan kecemasan selepas dipercayai mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, seorang peserta wanita berusia 44 tahun dipercayai mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menerima bantuan daripada petugas keselamatan pantai lalu dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha.

“Keadaan peserta wanita itu dilaporkan tidak sedarkan diri dan masih menerima rawatan manakala seorang lagi peserta lelaki turut mengalami masalah kesihatan dan dibantu pasukan perubatan di tepi pantai namun dibenarkan pulang selepas dia kembali pulih,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Shariman berkata, seorang lelaki dipercayai penonton mengalami kecederaan di kepala kerana dipercayai terjatuh daripada kawasan tinggi semasa menyaksikan acara Ironman.

Menurutnya, selepas lelaki tersebut menerima rawatan, dia telah dibenarkan pulang.

“Seramai 120 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang acara berlangsung bagi memastikan keselamatan peserta dan penonton.

“Orang awam supaya jangan menimbulkan sebarang spekulasi dan mendapatkan laporan yang sahih sebelum menyebarkan sesuatu kejadian,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com