Tuesday, 3, June, 2025
Utama Nasional Baucar buku diperluas kepada lebih 400,000 guru – PM

Baucar buku diperluas kepada lebih 400,000 guru – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif baucar buku diperluaskan kepada lebih 400,000 guru bagi tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat, khususnya pelajar sekolah dan universiti.

Menurut beliau, golongan pendidik memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyampaikan ilmu, malah turut bertanggungjawab memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar. Katanya, pemberian baucar ini adalah satu penghargaan kepada peranan guru serta dorongan untuk meningkatkan budaya ilmu.

“Tahun ini kita bagi baucar kepada semua guru. Tahun depan kita tengok dulu keadaan ekonomi sebab kita sedang bertarung dengan tarif Donald Trump (Presiden Amerika Syarikat),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut memaklumkan bahawa pemberian baucar buku kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tetap diteruskan menggunakan peruntukan sedia ada. Namun begitu, beliau mencadangkan agar inisiatif itu disemak semula agar lebih berkesan dan menyeluruh.

Katanya, pemberian baucar itu perlu disertai dengan garis panduan yang jelas supaya tidak disalahguna untuk mendapatkan bahan bacaan yang tidak berkualiti.

“Harus ada garis panduan, buku yang dibeli itu tidak semua yang berkualiti dan menggalakkan ilmu,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memuji penganjuran PBAKL 2025 yang disifatkannya sebagai platform penting dalam memupuk tabiat membaca rakyat Malaysia. Beliau menyatakan penghargaan kepada para ibu bapa dan guru yang membawa anak-anak dan pelajar menghadiri pesta buku itu.

Sebagai menyemarakkan lagi semangat membaca, Anwar turut menyertai satu sesi khas dengan mengulas empat buah buku pilihan peribadinya. Antara karya yang disentuh termasuk Kemiskinan Melayu dan Jalan Kepulihannya oleh Za’ba; Jejak-jejak di Pantai Zaman oleh Ungku A. Aziz; Fikrah Siddiq Fadzil: Citra Budaya dan Peradaban Melayu-Islam karya Dr Siddiq Fadzil; serta Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Perdana Menteri juga meluangkan masa meninjau reruai peserta pameran dan menyantuni pengunjung serta penggiat industri buku yang hadir ke acara tersebut.

PBAKL 2025 yang bertemakan Buku: Membaca, Memimpin mencatatkan sambutan hangat dengan jumlah kehadiran mencecah 1.8 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya bermula 23 Mei lalu. Tahun ini merupakan edisi ke-42 penganjuran pesta buku tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com