SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi Singapura dalam lawatan kerja sehari ke republik itu bagi membincangkan isu-isu penting melibatkan hubungan dua hala.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk hal ehwal sempadan dan maritim, kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu serta inisiatif serantau seperti Grid Kuasa ASEAN.
Anwar turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di The Istana, serta mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong sebelum berlepas pulang ke tanah air.
“Kami turut mengkaji semula projek-projek yang sedang berjalan seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura, yang dijadualkan siap pada akhir 2026, dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan serantau,” katanya.
Beliau berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Facebook selepas lawatan tersebut, sambil menyatakan keyakinan bahawa kunjungan itu akan memperkukuh lagi kerjasama antara kedua-dua negara demi kepentingan bersama.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dalam satu kenyataan di laman Facebook turut menyuarakan harapan agar hubungan erat antara kedua-dua negara berjiran itu terus diperkukuh demi manfaat rakyat Malaysia dan Singapura.
Sepanjang lawatan tersebut, Anwar turut menyampaikan perutusan khas pada Dialog Shangri-La ke-22 yang berlangsung di republik itu.
Selain itu, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth dan Presiden Boeing Global, Dr Brendan Nelson.