KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat, walaupun dua menteri telah meletak jawatan baru-baru ini.
Kenyataan itu merujuk kepada peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 28 Mei lalu.
“Kita akan bagi mereka masa untuk bermuhasabah diri dulu tentang keputusan diambil, sekarang mereka sedang bercuti yang saya sudah luluskan.
“Setakat sekarang Kerajaan mampu berjalan seperti biasa, tiada kepincangan. Ketika mesyuarat Kabinet nanti, saya akan minta menteri terlibat untuk ambil alih sementara.
“Ketua Pengarah akan terus menyelia pelaksanaan dasar kementerian masing-masing dalam masa ini,” ujar Anwar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Ahad.
Anwar turut menekankan bahawa kestabilan Kerajaan perlu dikekalkan, terutamanya ketika ini apabila rundingan penting sedang berlangsung antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan Amerika Syarikat berkaitan isu tarif yang diperkenalkan Presiden AS, Donald Trump.