PUTRAJAYA: Presiden Guinea-Bissau, Umaro Sissoco Embalo menzahirkan hasrat untuk mempelajari serta mencontohi kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, bantuan teknikal dan sektor perindustrian.
Beliau menyifatkan Malaysia bukan sahaja berjaya mencipta pencapaian cemerlang di rantau Asia Tenggara, malah turut menyerlah di peringkat antarabangsa.
“Kami berbangga dengan pencapaian Malaysia, kita ibarat saudara dan hubungan antara kita seharusnya mudah, mesra dan penuh keakraban. Kami mahu belajar dari negara ini.
“Saya yakin bahawa lawatan ini akan membuahkan kejayaan dan saya benar-benar berharap begitu,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, di sini, pada Rabu.
Katanya, lawatan ini menjadi titik permulaan penting untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.
“Kami mahu Malaysia menjadi rakan utama kami di benua Afrika dan Malaysia boleh menjadi kunci penting bagi kami bukan hanya di Asia, tetapi juga di peringkat global.
“Saya akan beri arahan kepada Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri Guinea-Bissau untuk bekerjasama dengan kementerian di Malaysia dan pastikan semua yang dipersetujui dilaksanakan,” katanya.