KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah tegas menangani isu ketirisan dan penyelewengan kewangan dengan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) bagi memperkukuh tadbir urus serta kredibiliti fiskal negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penubuhan jawatankuasa itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang beliau pengerusikan semalam, susulan laporan audit yang menunjukkan ketidakpatuhan serius dalam pengurusan kewangan agensi kerajaan.
“Perhatian serius diberikan terhadap penemuan audit berkaitan ketakteraturan kewangan yang berpotensi menjejaskan kredibiliti pengurusan fiskal negara.
“Sehubungan itu, dan selari dengan usaha memperkukuh peranan Jabatan Audit Negara menerusi pindaan Akta Audit 1957, mesyuarat bersetuju menubuhkan JTKS,” katanya menerusi hantaran di platform X, hari ini.
Anwar berkata, jawatankuasa itu akan memastikan tindakan susulan terhadap ketirisan dan ketidakpatuhan dapat diambil secara lebih holistik, bersasar dan berimpak tinggi.
Katanya, inisiatif itu selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti yang menjadi asas kepada pentadbiran kerajaan perpaduan.