PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk memberi kerjasama dalam usaha membantu rundingan antara Kemboja dan Thailand yang dijadualkan berlangsung 14 Jun ini, bagi mencari penyelesaian berhubung pertikaian sempadan kedua-dua negara.
Menurut beliau, perkara itu telah disampaikan sendiri kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra menerusi panggilan telefon semalam.
“Mengenai Kemboja dan Thailand, saya (sudah) bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri, mereka mengambil beberapa langkah yang kita sokong. Langkah berkenaan ialah rundingan mengenai sempadan Kemboja-Thailand, pada 14 Jun ini. Saya sedia mengikuti dan beri kerjasama yang diperlukan. Setakat ini kedua-dua kerajaan mengambil sikap untuk meneruskan rundingan secara baik,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra bersama hampir 15,000 jemaah pelbagai latar belakang.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Solat itu diimamkan Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhamad Zakuwa Rodzali dan berlangsung dalam suasana penuh khusyuk dan aman.
Isu sempadan antara Kemboja dan Thailand kembali tegang selepas insiden pertempuran singkat di wilayah Preah Vihear pada 28 Mei lalu yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja. Sejak itu, kebimbangan terhadap keselamatan di sempadan mula meningkat.
Difahamkan, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN ketika ini, sedang mengikuti rapat perkembangan membabitkan kedua-dua negara anggota ASEAN itu, termasuk kemungkinan peranan sebagai pemudah cara jika diperlukan.
Pada masa sama, kerajaan Thailand semalam mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menangani isu keselamatan di kawasan sempadannya dengan Kemboja. Perkara itu diumumkan sendiri oleh Paetongtarn selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyentuh mengenai hasrat Pakistan untuk menjadi rakan dialog penuh kepada ASEAN.
Beliau berkata, permintaan itu akan dibawa ke perhatian ketua-ketua negara blok serantau berkenaan.
“Ini (hasrat Pakistan) akan dibawa ke persidangan dan perbincangan ketua ASEAN. Saya juga berharap Pakistan dan India dapat mencapai penyelesaian damai.
“Saya tiada apa-apa peranan (dalam usaha perdamaian Pakistan-India), cuma berikan pandangan sahaja (untuk menjadi pengantara bagi kedua-dua negara itu),” katanya.
Anwar menegaskan bahawa penyelesaian secara damai dan diplomasi tetap menjadi pendekatan utama Malaysia dalam menghadapi sebarang konflik serantau mahupun antarabangsa, selaras dengan prinsip ASEAN dan semangat kebersamaan serantau.