PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar kerjasama yang lebih padu antara negara-negara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) digerakkan bagi menghentikan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Beliau menegaskan bahawa penyelesaian terhadap konflik kemanusiaan itu memerlukan usaha kolektif, melangkaui keupayaan sesebuah negara secara bersendirian, dan menuntut tekanan bersepadu daripada kuasa serantau dan antarabangsa.
“Kita telah sampaikan pandangan kita (menerusi kenyataan Wisma Putra), tapi ini bukan upaya satu negara. Seperti yang kita lakukan dengan negara-negara Teluk baru-baru ini, ada kesepakatan. Jadi ASEAN, negara Teluk dan kita dapatkan beberapa negara lain, supaya memberikan penjelasan dan tekanan yang keras kepada dunia supaya menghentikan (kekejaman Israel),” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Amerika Syarikat (AS) yang sekali lagi menggunakan kuasa veto ke atas draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), yang menggesa gencatan senjata segera dan penamatan sekatan bantuan kemanusiaan di Gaza.
Malaysia, menurutnya, amat kesal dan kecewa terhadap kegagalan berulang UNSC dalam meluluskan resolusi-resolusi penting bagi menghentikan tragedi kemanusiaan yang paling buruk sejak Perang Dunia Kedua.
Kementerian Luar Negeri sebelum ini dalam kenyataan rasmi turut menyuarakan kekesalan atas kegagalan Majlis Keselamatan bertindak secara tuntas, dengan menyatakan bahawa penggunaan kuasa veto secara berterusan hanya memperlihatkan kelemahan institusi global itu dalam menangani konflik besar kemanusiaan.
Dalam nada tegas, Anwar turut mengecam negara-negara yang dilihat bersikap hipokrit apabila secara terbuka mengecam kekejaman Israel tetapi pada masa sama terus membekalkan senjata kepada rejim berkenaan.
“Sekadar kenyataan mereka mengecam, kemudian masih menghantar senjata, menjual senjata kepada Israel, itu hanya tindakan yang bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan,” katanya.
Beliau menambah bahawa Malaysia komited untuk meneruskan tekanan diplomatik dan mencari ruang yang wajar bagi membantu rakyat Palestin mendapatkan semula hak mereka yang sah, khususnya di Gaza yang terus dikepung dan disekat akses bantuan.
“Kita mengutuk keras, cari helah dari sisi diplomatik bagaimana boleh bantu perjuangan rakyat Palestin, (untuk dapatkan semula) hak-hak yang sahih termasuk di Gaza,” ujar Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan beberapa pemimpin negara Islam sempena sambutan Aidiladha, termasuk Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.
Menurutnya, kesemua pemimpin tersebut menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap situasi di Gaza dan sebulat suara bersetuju untuk meneruskan rundingan serta mencari jalan keluar secepat mungkin bagi menamatkan keganasan rejim Zionis.
“Semua melahirkan sikap yang agak jelas… dan kita telah sepakat untuk terus runding, cari jalan untuk selesaikan masalah ini dengan seberapa segera mungkin,” katanya lagi.
Malaysia kekal konsisten dalam pendiriannya memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin dan akan terus memainkan peranan aktif di peringkat serantau serta antarabangsa dalam menuntut penyelesaian damai yang adil dan berkekalan.